Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA: Perluas jaringan ekonomi lebih inklusif untuk rakyat

Foto BERNAMA


CEBU, 7 Mei Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei- Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh kerjasama serantau dan perluaskan jaringan ekonomi untuk pembangunan inklusif.
  • Laksanakan Visi BIMP-EAGA 2035 sebagai janji pembangunan mampan dan manfaat langsung kepada masyarakat.
  • Tingkatkan projek dan program yang mewujudkan sumber pendapatan, keterhubungan dan peluang di kawasan pertumbuhan subrantau.

Perbincangan tertumpu kepada isu berkaitan kerjasama sub-serantau yang dipengerusikan oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.

Datuk Seri Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Dalam ucapan pembukaan, Ferdinand menekankan komitmen bersama negara anggota dalam memperkukuh kerjasama serantau, memperluas jaringan ekonomi serta memastikan pembangunan yang lebih inklusif untuk rakyat di rantau ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Visi BIMP-EAGA 2035 bukan sekadar pelan integrasi ekonomi, sebaliknya merupakan janji untuk memastikan pembangunan yang mampan dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Visi ini bukan sekadar pelan hala tuju untuk integrasi ekonomi. Ia merupakan satu janji kepada rakyat bahawa pembangunan akan menjadi lebih bermakna, mampan dan dapat dirasai dalam kehidupan seharian mereka.

Perbincangan hari ini menonjolkan program dan projek penting yang telah membawa perubahan besar kepada komuniti kita, mewujudkan sumber pendapatan, memperkukuh hubungan dan keterhubungan serta memperluas peluang khususnya di kawasan pertumbuhan subrantau ini,” kata Ferdinand.

BIMP-EAGA ialah kerjasama ekonomi serantau yang ditubuhkan pada tahun 1994 untuk mempercepat pembangunan kawasan timur ASEAN yang kurang membangun berbanding bandar utama.