
CEBU, 7 Mei – Malaysia dan Laos terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelbagai kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada kemakmuran rantau ASEAN.
- Perdana Menteri kedua negara setuju meluaskan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, pertahanan, telekomunikasi dan keterhubungan serantau.
- Sokongan diperkuat untuk memperkasakan integrasi ekonomi dan logistik ASEAN melalui jaringan rel ASEAN Express yang menghubungkan negara rantau.
- Kerjasama tenaga serantau diperkukuh menerusi projek LTMS PIP untuk meningkatkan keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga.
- Memperteguh prinsip pembangunan mampan, saling menghormati dan perkongsian kemakmuran demi kestabilan serta masa depan rantau ASEAN.
Komitmen itu dizahirkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Laos, Dr. Sonexay Siphandone, yang menyentuh usaha memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, pertahanan, telekomunikasi dan keterhubungan serantau.
Kedua-dua negara turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa integrasi ekonomi dan logistik ASEAN termasuk menerusi jaringan rel ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Lao PDR dan China.
Selain itu, kerjasama tenaga serantau melalui projek Laos-Thailand-Malaysia-Singapore Power Integration Project (LTMS-PIP) juga terus diperkukuh sebagai langkah mempertingkat keselamatan dan keterjaminan tenaga di rantau ini.
Dalam semangat Malaysia MADANI dan kebersamaan ASEAN, kedua-dua pihak percaya pembangunan mampan, saling menghormati serta perkongsian kemakmuran
merupakan asas penting dalam menjamin kestabilan dan masa depan rantau ini.