Beku aset PADINI: Lapan individu ditahan SPRM bagi bantu siasatan

KP SPRM, Tan Sri Azam Baki mempamerkan empat lukisan ternama dibeli guna dana 1MDB di Putrajaya/Foto RTM Rastwin

PUTRAJAYA, 6 Mei – Lapan individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pembekuan beberapa akaun bank milik Padini Holdings Bhd dan anak syarikat tempatan miliknya.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM rakam keterangan 10 saksi, 15 lagi sedang dikesan untuk membantu siasatan.
  • SPRM terus membekukan aset dan menolak permohonan pelepasan akaun untuk melengkapkan siasatan.
  • Padini: siasatan melibatkan pihak ketiga luar, operasi kumpulan kekal normal; syarikat mendapatkan penasihat undang-undang dan memohon buka semula akaun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai 10 saksi telah dirakam percakapan manakala 15 lagi individu sedang dikesan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini 10 individu telah dirakam percakapan dan 15 lagi akan dikesan untuk dirakam. Kes masih dalam siasatan dan pembekuan aset diteruskan walaupun terdapat permohonan untuk melepaskan akaun berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pegawai penyiasat berpendapat aset terbabit perlu terus dibekukan bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini, Padini memaklumkan (24 April lalu) kepada Bursa Malaysia bahawa beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya telah dibekukan agensi itu di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001

Sehari selepas itu, Padini memaklumkan pihaknya telah memulakan semakan dalaman susulan pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya oleh SPRM.

Menurut syarikat itu, siasatan berkenaan tidak melibatkan mana-mana pekerja, pegawai atau pengurusan Padini, sebaliknya berkaitan beberapa pihak ketiga di luar kumpulan syarikat.

Padini juga memaklumkan telah mendapatkan khidmat penasihat undang-undang luar serta mengambil tindakan susulan.

Ia termasuk mengemukakan permohonan bagi membuka semula akaun yang dibekukan.

Pada masa sama, syarikat itu menegaskan operasi perniagaan kumpulan kekal berjalan seperti biasa.