
SEOUL, 5 Mei – Sebuah kapal milik syarikat perkapalan Korea Selatan, HMM dilaporkan terbakar dan mengalami letupan ketika berada di Selat Hormuz pada Isnin.
- Kementerian Luar dan pihak berkuasa menyiasat kemungkinan kapal itu diserang berdasarkan risikan kerajaan.
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan; kebakaran dipercayai bermula di bilik enjin; 24 kru termasuk enam warga Korea Selatan.
- Ketegangan maritim: dua kapal pemusnah AS memasuki kawasan selat, kapal dagang AS melalui laluan; Seoul berhubung rapat dan ambil langkah keselamatan.
Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, pihak berkuasa kini sedang menyiasat kemungkinan kapal tersebut diserang.
Yonhap News Agency melaporkan, kapal dikenali sebagai HMM Namu itu mungkin menjadi sasaran serangan, berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh kerajaan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang dipercayai bermula di bilik enjin kapal kargo berdaftar Panama itu.
Seramai 24 kru berada di atas kapal berkenaan, termasuk enam warga Korea Selatan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Amerika Syarikat memaklumkan dua kapal pemusnah miliknya telah memasuki kawasan selat bagi memecahkan sekatan oleh Iran.
Dua kapal dagang Amerika Syarikat turut dilaporkan telah melalui Selat Hormuz, selepas Iran mendakwa berjaya menghalang kemasukan sebuah kapal perang Amerika ke kawasan tersebut.
Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan terus berhubung rapat dengan negara berkaitan serta mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan kapal dan anak kapal di Selat Hormuz terjamin.
Sebelum ini, Seoul memaklumkan sebanyak 26 kapal berbendera Korea Selatan masih terkandas di perairan berkenaan. – Reuters