Pengusaha bas mini, teksi Labuan sambut baik peluasan SKDS

FOTO RTM

LABUAN, 4 Mei – Pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan yang diperluas ke Sabah, Sarawak serta Labuan bermula hari ini, disambut baik pengusaha pengangkutan awam di pulau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • SKDS melibatkan 10 jenis pengangkutan awam dan 23 sektor pengangkutan darat barangan untuk penyaluran subsidi lebih tersasar, telus dan berkesan.
  • Pelaksanaan SKDS mampu meringankan beban pengusaha bas mini menghadapi peningkatan kos operasi.
  • Lebih 100 pengusaha bas mini dijangka menerima manfaat melalui penggunaan kad armada (fleet card) kerajaan.
  • Persatuan Teksi menghargai SKDS namun mahu perhatian terhadap kekurangan permintaan yang menjejaskan pendapatan; permohonan melalui portal MySubsidi.

SKDS melibatkan 10 jenis pengangkutan awam dan 23 sektor pengangkutan darat barangan bagi memastikan subsidi diesel disalurkan secara lebih bersasar, telus dan berkesan.

Pengerusi Persatuan Pemilik Bas Mini Labuan, Asmadi Ahmad

Pengerusi Persatuan Pemilik Bas Mini Labuan, Asmadi Ahmad berkata, pelaksanaan inisiatif itu amat membantu pengusaha bas mini dalam berdepan peningkatan kos operasi semasa.

“Bagi saya, menyambut baik hasrat kerajaan untuk membantu golongan sasar, terutamanya kami perkhidmatan awam seperti bas di Labuan. Program begini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami sebagai pengusaha, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Menurut beliau, lebih 100 pengusaha bas mini berdaftar di bawah persatuannya dijangka menerima manfaat menerusi pelaksanaan sistem berkenaan termasuk penggunaan kad armada (fleet card).

Pengerusi Persatuan Pengusaha Teksi Labuan, Mohd Ismail Abdul Rahman

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Teksi Labuan, Mohd Ismail Abdul Rahman turut menghargai usaha kerajaan melaksanakan SKDS walaupun kebanyakan teksi di Labuan ketika ini tidak menggunakan diesel.

“Kalau sistem ini masih berkekalan, kami berterima kasih kerana ia memberi kebaikan kepada rakyat dan memudahkan pengguna pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan industri teksi di Labuan kini berdepan kekurangan permintaan, sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha.

Permohonan bagi mendapatkan kemudahan SKDS boleh dibuat menerusi portal MySubsidi.