
KLANG, 7 Mei – Kegiatan penyimpanan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam tumpas setelah polis menggempur sebuah premis di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, malam tadi.
- Op Taring Alpha 2 dijalankan oleh WCB/PSK Bukit Aman bersama IPD Klang Selatan dan MBDK sekitar pukul 9:35 malam.
- Dua lelaki warga India berusia 25 dan 33 tahun ditahan; gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan dokumen jualan arak tidak bercukai.
- Rampasan: 354 peti dan 142 kotak bir (4,893 liter), 25 kotak liquor (238.55 liter), sebuah lori Nissan UD dan wang tunai RM3,011.
- Nilai rampasan dianggarkan RM556,414.87; kes disiasat mengikut Sek.135(1)(d) Akta Kastam dan Sek.6(1)(c) Akta Imigresen; MBDK kenakan dua kompaun RM1,000.
Operasi berkenaan dipercayai berjaya memutuskan rangkaian penyimpanan dan pengedaran arak tidak bercukai kastam di kawasan Klang dan sekitarnya.
Serbuan menerusi Op Taring Alpha 2 itu dilakukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kira-kira pukul 9:35 malam.
Komander WCB/PSK, SAC Datuk Mohd Zaki Ashar berkata dua lelaki warga India masing-masing berusia 25 dan 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta dokumen penjualan minuman keras tidak bercukai kastam.
“Polis turut merampas 354 peti dan 142 kotak minuman keras jenis bir pelbagai jenama membabitkan 4,893 liter, selain 25 kotak minuman keras jenis liquor berjumlah 238.55 liter.
“Turut disita sebuah lori jenis Nissan UD dan wang tunai RM3,011,” katanya dalam kenyataan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM556,414.87.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam operasi sama, MBDK turut mengeluarkan dua kompaun masing-masing RM1,000 atas kesalahan pelesenan dan iklan di bawah Undang-Undang Kecil MBDK 2007.
Tangkapan bersama rampasan diserahkan kepada IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.