
PASIR PUTEH, 7 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan menahan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga India dan Bangladesh dalam operasi di tebing Sungai Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu awal pagi Selasa lalu.
- Operasi hasil risikan mengesan bot mencurigakan. Bot meloloskan diri namun operasi darat menahan 10 individu sekitar 2:13 pagi.
- Semua memiliki pasport tetapi gagal tunjuk rekod perjalanan sah; dipercayai bayar ejen RM5,000 hingga RM12,000 seorang.
- Mereka berusia 17 hingga 38 tahun, lima lelaki tiga wanita dari India serta satu lelaki satu wanita dari Bangladesh; disiasat mengikut Akta Imigresen.
Pengarahnya, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata tangkapan dilakukan hasil risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran menggunakan laluan tidak diwartakan.
“Operasi menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantan Merah dan Op Tiris berjaya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Sungai Kelantan kira-kira pukul 1:15 pagi,” katanya.
Bagaimanapun, bot berkenaan berjaya meloloskan diri selepas memecut ke kawasan sungai cetek.
“Pasukan operasi darat kemudian digerakkan ke lokasi sebelum menahan 10 individu kira-kira pukul 2:13 pagi,” beliau menambah dalam satu kenyataan.
Kesemua mereka memiliki pasport namun gagal mengemukakan rekod perjalanan sah untuk memasuki negara ini.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai menggunakan khidmat ejen dengan bayaran antara RM5,000 hingga RM12,000 seorang untuk masuk ke Malaysia.
“Mereka dipercayai datang bagi bekerja di kedai dobi, pusat cucian kenderaan dan salon kecantikan di Johor Bahru, Lembah Klang serta kawasan utara.
PATI itu berusia antara 17 hingga 38 tahun melibatkan lapan warganegara India terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita serta dua warganegara Bangladesh iaitu satu lelaki dan juga satu wanita,” ujarnya lagi.
Kesemua individu terbabit dibawa ke Pejabat APMM Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.