
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penjagaan ibu bapa bagi memastikan tanggungjawab sosial terhadap golongan berkenaan tidak diabaikan.
- RUU bertujuan memperkukuh tanggungjawab anak terhadap ibu bapa dan menangani isu pengabaian warga emas.
- Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kementerian kemukakan kertas cadangan dalam tempoh enam bulan untuk dibawa ke Jemaah Menteri.
- Penekanan kepada nilai kekeluargaan, agama dan ketimuran sebagai asas menjaga tanggungjawab sosial terhadap warga emas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut antara langkah penting dalam memperkukuh nilai kekeluargaan serta memastikan kebajikan warga emas terus terpelihara seiring dengan perkembangan negara menuju status negara maju.
Beliau berkata, beberapa negara telah melaksanakan undang-undang seumpama itu, namun Malaysia masih berada di peringkat kajian dan penelitian dasar sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Saya telah meminta Kementerian berkenaan mengemukakan kertas cadangan dalam tempoh enam bulan dan seterusnya dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk kelulusan dasar,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (DSN) 2026-2030.
Menurutnya, RUU tersebut antara lain bertujuan memperkukuh tanggungjawab anak terhadap ibu bapa yang semakin tua, selain menangani isu pengabaian warga emas yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata, dalam usaha Malaysia menjadi negara maju, aspek tanggungjawab sosial tidak boleh diketepikan kerana ia turut berkait rapat dengan nilai agama dan nilai ketimuran yang menjadi asas masyarakat negara ini.

“Semua agama menekankan kepentingan menjaga ibu bapa, dan kita tidak mahu nilai ini semakin luntur dalam arus pemodenan. Kerajaan juga memandang serius isu pengabaian warga emas termasuk tindakan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan tanpa dipedulikan, yang merupakan satu bentuk pelepasan tanggungjawab yang tidak dialu-alukan.
“Kita perlu mempelajari pengalaman beberapa negara yang telah melaksanakan undang-undang berkenaan. Bagi negara yang belum melaksanakannya pula, kita percaya mereka juga akan mengambil pendekatan sama sekiranya situasi di negara berkenaan memerlukan,” katanya.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai pelepasan tanggungjawab sepenuhnya kerana penjagaan ibu bapa merupakan amanah yang perlu dipikul bersama.