
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkukuh sistem saliran di beberapa kawasan berisiko banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda ibu negara baru-baru ini.
- Air larian laju semasa hujan lebat, terutama kawasan rendah dan tepi jalan; parit sedia ada tidak mampu menampung.
- DBKL menyediakan peruntukan tahun ini untuk menambah baik sistem perparitan, termasuk di kawasan Cheras.
- Tapak OSD dikenalpasti di Segambut untuk tahan sementara aliran; pembangunan berbukit perlu berfasa dan penguatkuasaan tapak pembinaan dipertingkat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata ketika hujan lebat berlaku, air bergerak terlalu laju terutama di kawasan rendah sehingga sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air dalam tempoh tertentu.
“Sewaktu hujan lebat itu memang air sangat laju, terutama di kawasan tepi jalan. Pada waktu itu parit memang tidak dapat tampung,” katanya.
Menurut beliau, DBKL telah menyediakan peruntukan tahun ini bagi menambah baik sistem perparitan termasuk di kawasan Cheras.
Bagi kawasan Segambut pula, DBKL telah mengenal pasti tapak untuk pembinaan Onsite Detention (OSD) bagi menahan sementara aliran air sebelum dilepaskan ke sungai, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sistem saliran sedia ada.
Pada masa sama, beliau mengakui terdapat kawasan yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir kini mula terjejas akibat pembangunan pesat terutama di kawasan berbukit.
“Pembukaan kawasan hijau untuk pembangunan menyebabkan air larian terus masuk ke sistem saliran tanpa kawasan resapan semula jadi seperti pokok dan tanah asal,” jelasnya.
Disebabkan itu, DBKL tidak lagi membenarkan pembangunan di kawasan berbukit dilaksanakan secara sekali gus, sebaliknya perlu dibuat secara berfasa.
Beliau turut meminta penguatkuasaan dipertingkat di semua tapak pembinaan termasuk penyelenggaraan kolam takungan, silt fence dan silt trap supaya aliran serta tampungan air dapat dikawal dengan lebih baik.