Projek KHTP Fasa 5 tawar 15,000 peluang pekerjaan baharu

Foto RTM

KULIM, 7 Mei – Projek Kulim High Tech Park (KHTP) Fasa 5 dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM50 bilion serta mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan baharu, khususnya pekerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM132.3 juta di bawah RMK-12 untuk KHTP Fasa 5, kawasan 192 ekar, dijangka siap pada 2029.
  • RM20 juta diperuntukkan tahun ini bagi kerja-kerja awal pembangunan infrastruktur asas di tapak projek.
  • Pembangunan KHTP sebagai aset strategik mengukuh Koridor Utara, selaras MY-TH BEZ dan mengurangkan ketidakseimbangan pelaburan wilayah.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek berkenaan telah diluluskan peruntukan sebanyak RM132.3 juta oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 melibatkan kawasan seluas 192 ekar dan dijangka siap pada tahun 2029.

Tahun ini, Kementerian Ekonomi telah memperuntuk RM20 juta bagi pelaksanaan awal pembangunan infrastruktur asas termasuk kerja-kerja awalan di tapak projek.

“KHTP bukan sekadar kawasan industri, KHTP adalah aset strategik negara. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, pelabur mencari lokasi yang stabil, ada infrastruktur lengkap, ada tenaga kerja yang sesuai dan kerajaan yang boleh bergerak cepat,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Pembangunan KHTP fasa 5 di KHTP Business Centre di sini.

Menurut beliau, dalam keadaan ketidaktentuan global, Malaysia perlu memperkukuh kelebihan sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan bersedia.

“Perdagangan Malaysia bagi suku pertama 2026 kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global dengan jumlah perdagangan meningkat kepada paras tertinggi bagi suku pertama serta eksport elektrik dan elektronik terus menjadi pemacu utama,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan KHTP perlu dilihat dalam gambaran lebih besar pembangunan Koridor Utara, termasuk hubungan strategik dengan projek taman perindustrian tematik utama antaranya seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Kedah Rubber City (KRC), Kedah Science & Technology Park (KSTP), Delapan dan Bukit Kayu Hitam Industrial Park.

“Ketika ini Kementerian Ekonomi menerusi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang membangunkan perancangan pembangunan ekonomi sempadan di Wilayah Utara yang akan memberi impak besar kepada ekonomi Negeri Perlis dan Kedah,” katanya.

Perancangan Malaysia-Thailand Border Economic Zone (MY-TH BEZ) akan merungkai potensi pelaburan dan kerjasama sempadan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pembangunan kawasan sempadan ini akan membantu menangani ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dan pelaburan semasa yang banyak tertumpu di kawasan Pulau Pinang dan KHTP.

“Secara keseluruhannya, lawatan kerja ini memperlihat komitmen Kementerian Ekonomi untuk memastikan projek-projek strategik negara dilaksanakan dengan lebih tersusun, berfokus dan memberi impak sebenar kepada rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, pembangunan negara mesti terus berjalan dan pelaburan perlu dipacu. Namun, keperluan asas rakyat seperti bekalan air tidak boleh diketepikan. Ekonomi mesti bergerak dan rakyat mesti terus menjadi keutamaan,” katanya.