
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (DSN) 2026-2030 yang mengandungi 102 inisiatif dilancarkan hari ini.
- Berpaksikan empat tumpuan utama: pencegahan, pemerkasaan, promosi dan perlindungan untuk memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.
- Tiga anjakan utama: daripada bantuan kepada keberdayaan; daripada silo kepada satu ekosistem; daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan.
- Pelaksanaan dengan pemilik jelas, petunjuk prestasi boleh diukur, garis masa dan pemantauan berkala melalui Majlis Sosial Negara serta kerjasama seluruh ekosistem.
Inisiatif itu berpaksikan empat tumpuan utama iaitu pencegahan, pemerkasaan, promosi dan perlindungan bagi memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelan tindakan berkenaan menjadi gerak kerja yang lebih tersusun bagi memaknai DSN 2030 yang telah dilancarkan sebelum ini.

“DSN 2030 tempohari telah memberi kita arah. Hari ini, Pelan Tindakan (baharu) ini akan memberi kita gerakan yang lebih tersusun untuk memaknai asas dasar tersebut.
“Ia memastikan bantuan tidak bertindih, maklumat tidak terputus, kumpulan rentan tidak tercicir dan setiap intervensi benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya pada majlis pelancaran pelan tindakan berkenaan.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, pelan tindakan itu perlu menjadi jambatan antara dasar yang dirangka kerajaan dengan realiti kehidupan rakyat supaya bantuan dan intervensi yang dilaksanakan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, cabaran sosial masa kini semakin kompleks apabila tekanan sosial bertembung dengan tekanan ekonomi selain kemajuan digital yang turut membawa risiko baharu seperti penipuan dalam talian, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan berbahaya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, pelaksanaannya juga perlu memberi penekanan kepada tiga anjakan utama iaitu daripada bantuan kepada keberdayaan, daripada silo kepada satu ekosistem dan daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan.

“Bantuan tetap penting, khususnya kepada mereka yang memerlukan, tetapi matlamat akhir dasar sosial bukan untuk mengekalkan rakyat sebagai penerima bantuan sahaja.
“Matlamat kita ialah mengangkat mereka supaya mereka mampu berdiri, bekerja, berniaga, menyumbang dan membina masa depan keluarga sendiri,” katanya.
Beliau berkata setiap inisiatif di bawah pelan tindakan itu akan mempunyai pemilik tanggungjawab yang jelas, petunjuk prestasi utama (PPU) yang boleh diukur, garis masa pelaksanaan dan pemantauan berkala menerusi Majlis Sosial Negara.
“Masalah sosial tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan seluruh ekosistem termasuk kerajaan, pihak berkuasa tempatan, NGO, sektor swasta, akademia dan komuniti bergerak bersama,” katanya.
Beliau turut menegaskan, dasar sosial hanya akan bermakna sekiranya ia benar-benar mampu mengubah kehidupan rakyat secara menyeluruh dan berkesan.