
KULIM, 7 Mei – Kerajaan Persekutuan mengambil alih pelaksanaan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling termasuk akan melaksanakan proses tender semula untuk pelantikan kontraktor baharu yang dijangka pada Julai ini.
- Projek LRA Sungai Limau mengalami kelewatan ketara, kontrak asal ditamatkan dengan kemajuan fizikal hanya 25.57 peratus.
- Kerajaan terpaksa keluarkan peruntukan tambahan dan proses tender semula perlu bagi memastikan projek diteruskan demi kepentingan rakyat Kedah.
- Surat amaran dikeluarkan kepada kontraktor; kerajaan menegaskan kerjasama semua pihak perlu supaya kelewatan tidak berulang dan bekalan air dipastikan.
Projek berkenaan mengalami kelewatan yang sangat ketara sehingga kontrak asal ditamatkan pada April 2025 dengan kemajuan projek fizikal hanya mencapai tahap 25.57 peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata walaupun kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan, proses tender semula perlu dilakukan bagi memastikan projek berkenaan diteruskan untuk kepentingan rakyat Kedah.
Manakala bagi LRA Bukit Selambau di Kuala Muda, kemajuan fizikal semasa berada pada tahap 51.28 peratus berbanding jadual asal 58.02 peratus.
Katanya, surat amaran kemungkiran juga telah dikeluarkan kepada kontraktor untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak saya amat dikesal apabila projek kritikal seperti bekalan air mengambil masa terlalu lama, sehingga terpaksa melalui proses tender semula dan tindakan amaran kepada pihak berkaitan.
Projek sebegini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana kesannya ditanggung oleh rakyat. Sebab itu Kerajaan Persekutuan terpaksa membuat intervensi dan turun melihat sendiri keadaan di tapak bagi memastikan isu pelaksanaan diselesaikan segera,” katanya.
“Projek ini perlu dipulihkan dan disiapkan agar kerugian tidak ditanggung rakyat,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri taklimat di Kulim High Tech Park (KHTP) Business Centre di sini.
Terdahulu beliau turut meninjau perkembangan terkini Projek Naik Taraf LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada tiga keutamaan kerajaan iaitu memastikan keperluan asas rakyat diperkukuh, kawasan perindustrian strategik negara dipercepat dan pembangunan wilayah utara disusun sebagai satu ekosistem pelaburan yang lebih berdaya saing.
Lawatan ini selari hala tuju Rancangan Malaysia ke-13 yang menekankan kesejahteraan rakyat, pelaburan bernilai tinggi, pembangunan wilayah yang seimbang dan pelaksanaan projek lebih berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa projek-projek kritikal seperti ini perlu ada kerjasama dan tanggungjawab semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri, Jabatan Bekalan Air, kementerian pelaksana dan agensi berkaitan supaya kelewatan tidak berulang.