
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Kerajaan diseru untuk memperkukuh pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara, khususnya melibatkan aspek etika, akses dan literasi digital bagi memastikan pelaksanaannya lebih menyeluruh dan inklusif.
- AI meningkatkan kualiti pengajaran, mengurangkan beban tugas guru dan meningkatkan produktiviti pelajar.
- AI bantu pelajar menjana idea awal; penggunaan mesti etika untuk melindungi integriti akademik dan keselamatan data.
- Rapatkan jurang digital bandar-pedesaan melalui infrastruktur internet, peranti dan insentif agar akses pendidikan berasaskan AI bersifat inklusif.
- Perluaskan program literasi AI untuk guru, pelajar dan komuniti sebagai persediaan menghadapi transformasi digital dalam pendidikan masa depan.
Pakar Teknologi Pendidikan, Profesor Dr Shamsul Arrieya Ariffin berkata, langkah itu menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke arah transformasi digital yang lebih pantas dalam sektor pendidikan.
Menurut beliau, penggunaan AI dalam pendidikan berpotensi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, selain membantu mengurangkan beban tugas guru, di samping meningkatkan produktiviti pelajar.
“Kalau kita lihat pensyarah dan guru memang mempunyai beban tugas yang sangat tinggi. Ada laporan yang mungkin ambil masa beberapa hari untuk disiapkan.
“Dengan adanya AI, perkara itu boleh disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja. Jadi ini sebenarnya satu kelebihan kepada kita,” katanya ketika ditemui di Angkasapuri Kota Media.
Profesor Dr Shamsul Arrieya juga berkata, AI boleh membantu pelajar menjana idea awal dalam proses pembelajaran, namun ia tidak wajar disalahgunakan.
Katanya, aspek etika penggunaan AI juga perlu terus diberi perhatian, khususnya berkaitan integriti akademik dan keselamatan data.
Pada masa sama, jurang digital antara bandar dengan luar bandar masih perlu dirapatkan bagi memastikan akses kepada pendidikan berasaskan AI lebih seimbang.
“Saya pernah bercakap tentang isu di Sabah di mana internet tidak boleh dicapai di kawasan pedalaman. Jadi ia satu kerugian kepada pelajar yang mahu belajar.
“AI perlukan internet, komputer dan akses yang stabil. Kalau kita tak ada semua itu, macam mana kita nak bantu pelajar?
“Kerajaan perlu lihat semula insentif dan usaha untuk merapatkan jurang digital ini supaya pendidikan benar-benar inklusif, termasuk untuk pelajar, golongan rentan dan warga emas,” katanya.
Beliau turut mencadangkan gar program literasi AI diperluas kepada guru, pelajar dan komuniti sebagai persediaan menghadapi perubahan dalam sistem pendidikan masa depan.