Kemelut Negeri Sembilan: Kerajaan kekal sokong institusi beraja

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Mei – Kerajaan kekal berpegang kepada prinsip menyokong sistem beraja serta mematuhi titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar pentadbiran negeri terus stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedudukan Menteri Besar tidak berbangkit sekarang; sebarang isu sokongan akan ikut proses ditetapkan.
  • Sokongan parti kepada institusi beraja dan undang-undang dianggap sebahagian daripada sistem beraja di Negeri Sembilan.
  • Kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang sedia menjadi pembangkang disifatkan tidak jelas dan tidak wajar diperbesarkan.
  • Perdana Menteri menasihati Menteri Besar supaya mematuhi titah Yang di-Pertuan Besar dan menghormati undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan kedudukan Menteri Besar tidak berbangkit ketika ini, manakala sebarang persoalan mengenai sokongan akan ditentukan mengikut proses yang ditetapkan.

“Tapi setakat ini kalau ikut kita kata kita parti yang dukung sistem beraja, kita dukung. Kemudian dengan undang-undang itu sebahagian daripada sistem beraja di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang sedia menjadi pembangkang susulan kemelut politik di negeri berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan tersebut yang disifatkan tidak jelas dan tidak wajar diperbesarkan sehingga menimbulkan kekeliruan politik.

Datuk Seri Anwar turut menekankan kepentingan menghormati undang-undang dalam sistem beraja Negeri Sembilan serta menasihati Menteri Besar agar mematuhi titah Yang di-Pertuan Besar.