Penyusunan semula perbelanjaan tidak jejas pengambilan doktor, jururawat

Kekeliruan timbul apabila cadangan penyelarasan bajet disalah tafsir/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Mei – Pengambilan petugas kesihatan, termasuk doktor dan jururawat tidak akan terjejas susulan cadangan penyusunan semula perbelanjaan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri jelaskan kekeliruan selepas cadangan penyelarasan bajet disalah tafsir.
  • Penyusunan semula tumpu kurangkan perbelanjaan berlebihan seperti kursus tidak perlu dan majlis di hotel mewah.
  • Media lapor Kementerian Kewangan cadang potong operasi RM5.4 bilion melibatkan kesihatan dan pendidikan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekeliruan timbul apabila cadangan penyelarasan bajet disalah tafsir seolah-olah menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.

“Saya nak jelaskan tentang penyusunan semula, beberapa kajian semula tentang perbelanjaan. Perubatan, pengambilan doktor baharu, jururawat itu tidak terjejas, tak terkesan. Pembinaan klinik tak terkesan, cuma skop hospital yang mewah itu kurangkanlah.

“Sekolah, walaupun kepentingan pendidikan kita kurangkan tetapi untuk sekolah pembinaan kelas-kelas baharu bagi kemasukan pelajar sekarang tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, langkah penyelarasan itu sebaliknya memfokuskan kepada pengurangan perbelanjaan berlebihan, termasuk penganjuran kursus dan majlis yang tidak bersandarkan keperluan sebenar.

“Jadi yang kita rasa perbelanjaan besar bagi kursus berlebih sangat itu kalau kursus yang ada dalam negara, hantar dalam negara, tidak di luar negara.

“Kemudian majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian,” katanya.