Kes tikam 61 kali: Empat suspek direman

Foto RTM

KOTA BHARU, 2 Mei -Mahkamah Majistret Kota Bharu, membenarkan perintah reman antara tiga hingga tujuh hari terhadap empat suspek bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penuntut kolej wanita, di Kampung Simah, Ketereh, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat penuntut kolej wanita ditemui di Kampung Simah dengan 61 kesan tikaman.
  • Polis menahan empat suspek dalam dua serbuan di Taman Murni dan Kampung Belukar Luas.
  • Bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Rasid, dengan kedua-dua remaja berusia 19 tahun direman selama tujuh hari manakala sepasang warga emas berusia 66 dan 60 tahun direman tiga hari.

Tahanan reman itu bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu, pukul 8.40 pagi diiringi anggota polis dan memakai baju lokap warna oren.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menahan empat individu susulan penemuan mayat gadis dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh tengah malam semalam.

Beliau berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada dua remaja lelaki dan lelaki warga emas berusia 19 dan 66 tahun, manakala seorang wanita warga emas berusia 60 tahun.

Semua suspek ditahan antara pukul 4.00 petang semalam sehingga awal pagi hari ini dalam dua serbuan di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas, dua buah kereta, dua telefon bimbit satu set pakaian, sepasang selipar empat pelapik kaki serta sebilah pisau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan berlumuran darah di atas jalan di Kampung Simah, Ketereh kira-kira 12.30 tengah malam, semalam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari sama mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.