
GUA MUSANG, 3 Mei– Seorang pemandu treler dan pembantu mengalami kecederaan ringan, selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 9 Gua Musang-Kuala Lipis, awal pagi tadi.
- Kejadian berlaku kira-kira 2.10 pagi ketika treler menuruni bukit, terbabas di tengah jalan akibat jalan licin dan muatan berat.
- Kenderaan melintang menyebabkan kesesakan trafik kira-kira tujuh kilometer.
- Treler berjaya dialihkan sekitar jam tujuh pagi.
- Kes disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959; polis menasihatkan pemandu berhati-hati, rancang perjalanan dan patuhi jarak serta had laju.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo menerusi kenyataan berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 2.10 pagi ketika treler yang dipandu lelaki berusia 39 tahun dari arah Kuala Lipis menghala Gua Musang.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu lelaki terbabit terbabas di tengah jalan dan melintang jalan ketika menuruni bukit jalan selekoh disebabkan jalan licin ekoran membawa muatan berat,” kata beliau.
Pemandu treler dan pembantunya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal.
Akibat kemalangan terbabit berlaku kesesakan aliran trafik sejauh tujuh kilometer.
Setakat kira-kira tujuh pagi tadi, treler tersebut telah berjaya dialihkan.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959
(Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan yang dipandu.
Dalam pada itu, Choon Foo menasihatkan pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika memandu, merancang perjalanan, serta mematuhi had laju dan jarak dengan kenderaan di hadapan.