Suspek curi kereta di Pontian ditahan

Kenyataan PDRM

PONTIAN, 3 Mei- Polis berjaya menyelesaikan kes curi kenderaan dalam tempoh kurang 24 jam menerusi Op Lejang apabila seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan selepas disyaki melarikan sebuah kereta di kawasan tepi Jalan Teluk Kerang di sini pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan 2 Mei 2026, 2.45 pagi di Jalan Parit Panjang berjaya memintas kenderaan dan menahan suspek.
  • Polis merampas sebuah kereta hitam dan alat kunci kawalan jauh.
  • Suspek positif methamphetamine, mempunyai rekod jenayah dan disiasat bawah Seksyen 379A serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata pihaknya menerima laporan kejadian sekitar pukul 1.00 pagi sebelum tindakan pantas digerakkan bagi mengesan kenderaan terbabit yang dipercayai dibawa ke arah Tol Sedenak, Kulai.

“Susulan aduan diterima, pada 2 Mei 2026 sekitar pukul 2.45 pagi, satu serbuan telah dijalankan oleh sepasukan polis di kawasan Jalan Parit Panjang, Kampung Parit Mohayat, Ayer Baloi, Pontian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Pasukan Task Force Lejang Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian dengan bantuan Mobile Patrol Vehicle (MPV) Balai Polis Pontian serta Balai Polis Permas.

“Hasil operasi berjaya memintas kenderaan berkenaan dan menahan suspek. Turut dirampas sebuah kereta berwarna hitam yang dilaporkan hilang serta sebatang alat kunci kawalan jauh,” katanya.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan jenayah kekerasan dan harta benda serta lima rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik.

“Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Superintendan Hadzrat berkata kejadian berkenaan berlaku ketika mangsa meninggalkan kenderaan dengan enjin masih hidup dan kunci ditinggalkan di dalam kenderaan sebelum memasuki sebuah kedai runcit.

“Suspek yang berada di lokasi kemudian mengambil kesempatan dan melarikan kenderaan tersebut,” katanya,

Sehubungan, beliau menyeru orang ramai agar mengambil langkah sewajarnya khususnya dalam aspek pencegahan dan penjagaan kenderaan bagi membendung kes kecurian kenderaan daripada terus berlaku.