
PASIR MAS, 3 Mei- Seramai 113 pendatang tanpa izin (PATI) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas kesalahan memasuki negara secara haram dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
- 85 dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
- 28 dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah.
- 40 dihukum denda RM10,000 setiap seorang; jika gagal bayar, tiga bulan penjara; 73 lagi dipenjara tiga bulan.
- Ditangkap dalam operasi Jabatan Imigresen di tapak pembinaan Dabong, Kuala Krai pada 21 April; kebangsaan termasuk Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan, China.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, 85 daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
28 lagi tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta 155 (Pindaan 2002) kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Khaidijah Khairuddin.
Manakala 40 tertuduh diwakili peguam Nik Nur Adilla Nik Suaki dan selebihnya tidak diwakili peguam.
Kesemua PATI terbabit, memberikan keterangan melalui jurubahasa mahkamah dan merayu agar hukuman diringankan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap 40 tertuduh.
Jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama tiga bulan.
Baki 73 tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan.
Mereka ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam operasi di beberapa tapak pembinaan di Dabong, Kuala Krai, pada 21 April lalu.
Seramai 113 berjaya ditangkap dan daripada jumlah itu 86 adalah warga Bangladesh, 10 dari Indonesia, sembilan warga Myanmar, tujuh dari Pakistan dan seorang dari China.