Positif alkohol, dua lelaki ditahan

Foto Facebook Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Batu Pahat

BATU PAHAT, 3 Mei– Dua lelaki tempatan positif alkohol ditahan menerusi Op Mabuk yang dijalankan di Kilometer 6, Jalan Kluang – Batu Pahat, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek didapati positif alkohol melalui saringan ujian pernafasan.
  • Kenderaan disita dan suspek dibawa ke Balai Polis Batu Pahat serta ditahan di lokap.
  • Penahanan dibuat mengikut Seksyen 45A(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).
  • Op Mabuk memeriksa 35 kenderaan dan 42 individu; 30 saman dikeluarkan termasuk melanggar lampu isyarat merah dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kedua-dua suspek masing-masing berusia 32 dan 33 tahun didapati positif alkohol hasil saringan ujian pernafasan.

“Kenderaan yang dipandu turut disita bagi tujuan siasatan lanjut. Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Batu Pahat dan ditahan di lokap,” menurut hantaran itu.

Penahanan kedua-dua lelaki terbabit dibuat mengikut Seksyen 45A(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

BSPTD Batu Pahat menegaskan pemanduan di bawah pengaruh alkohol menjadi kesalahan serius yang boleh mengancam nyawa.

Sementara itu, Op Mabuk yang dilaksanakan menerusi sekatan jalan raya itu telah membuat pemeriksaan ke atas 35 buah kenderaan selain 42 individu turut diperiksa.

Hasil pemeriksaan 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk melanggar lampu isyarat merah dan tidak memakai tali pinggang keledar.