Kanak-kanak perempuan maut, lemas di Jeram Toi

FOTO IPD JELEBU

JELEBU, 3 Mei – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika berkelah bersama keluarga di Taman Eko Rimba Jeram Toi, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam kolam buatan ketika bersama keluarga.
  • Ibu sempat menyelamatkan diri; mangsa tidak pandai berenang dan tenggelam ke dasar kolam.
  • Mangsa ditemui orang awam, dibawa ke hospital, disahkan meninggal; kes diklasifikasikan mati mengejut dan bedah siasat dijalankan.
  • Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun atau lokasi berisiko.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Penguasa Polis Supt Azizan Said berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 5.44 petang oleh seorang lelaki tempatan yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam kolam buatan ketika berada di lokasi berkenaan bersama ahli keluarganya,” katanya.

Difahamkan, ibu mangsa sempat menyelamatkan diri, namun mangsa yang tidak pandai berenang tenggelam ke dasar kolam.

Mangsa kemudian ditemui orang awam sebelum dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan bedah siasat dijalankan di hospital sama bagi mengenal pasti punca kematian.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun atau lokasi berisiko.