Azizulhasni, PKBM terima Anugerah Brandlaureate

Foto PKBM

KUALA LUMPUR, 30 April – Legenda berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang terus mengharumkan nama Malaysia apabila menerima pengiktirafan ‘Book of World Records’ daripada The BrandLaureate, sebuah anugerah berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan jenama dan penjenamaan di rantau Asia-Pasifik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azizulhasni menang pingat emas keirin dan perak pecutan individu di Kejohanan Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai.
  • PKBM menerima anugerah khas atas peranan aktif mempromosikan sukan berbasikal dan mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.
  • Pengiktirafan tersebut hadir tepat pada masanya ketika PKBM merancang membida penganjuran Kejohanan Dunia.

Beliau yang dikenali sebagai “The Pocket Rocketman”, menerima penghargaan itu hanya beberapa hari selepas menghadiahkan pingat emas acara keirin dan perak pecutan individu pada Kejohanan Trek Piala Dunia 2026 di Velodrom Nasional Nilai baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menerusi kenyataan berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu yang terus melakar kejayaan luar biasa di pentas antarabangsa.

“PKBM ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Azizulhasni kerana menerima anugerah ‘Book of World Records’. Ini adalah satu pengiktirafan besar terhadap pencapaiannya,” katanya

Sebelum ini Datuk Azizulhasni turut menerima ‘Sport Icon Awards’ daripada The BrandLaureate pada 2024, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon sukan negara menjelang sasaran penampilan di Sukan Olimpik 2028.

Pengiktirafan ‘Book of World Records’ itu turut pernah diberikan kepada legenda skuasy negara, Datuk Nicol David, selain bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo dan pemain Korea Selatan, Lee Dong-gook.

Selain beberapa atlet tempatan seperti Lee Zii Jia, Johan Ghazali dan Datuk Abdul Latif Romly yang turut menerima anugerah sama.

Pada masa sama, PKBM turut menerima anugerah khas daripada organisasi berkenaan atas peranan aktif mempromosikan sukan berbasikal dan mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.

Datuk Amarjit berkata, pengiktirafan tersebut hadir tepat pada masanya ketika PKBM merancang untuk membida penganjuran kejohanan dunia dalam masa terdekat.

“Pengiktirafan ini sangat bermakna kepada PKBM menjelang pembidaan Kejohanan Dunia tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu. Kejohanan Piala Dunia Trek 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai baru-baru ini turut mendapat pengiktirafan tinggi daripada Union Cycliste Internationale (UCI) sebagai antara penganjuran terbaik setakat ini.