Hukuman banduan di Myanmar dikurangkan satu per enam daripada tempoh ditetapkan

Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing (kanan) mengumumkan pengurangan hukuman kepada banduan sebanyak satu per enam bersempena cuti umum. /AFP

YANGON, 30 April – Hukuman bagi semua banduan di Myanmar akan dikurangkan daripada tempoh yang ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baki hukuman semua banduan dikurangkan satu per enam bersempena cuti umum.
  • Aung San Suu Kyi turut menerima pengurangan yang sama, namun jumlah masa yang dipendekkan tidak dinyatakan.
  • Win Myint menerima pengampunan, mencetuskan spekulasi pelonggaran sekatan; Suu Kyi kekal diasingkan dan kesihatannya merosot.

Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua tentera menerusi satu kenyataan memberitahu, bersempena cuti umum pada Khamis, semua banduan akan dikurangkan baki hukuman sebanyak satu perenam.

Kenyataan itu tidak menyebut mana-mana banduan secara khusus, namun sumber mengesahkan bahawa bekas Presiden, Aung San Suu Kyi turut menerima pengurangan yang sama terhadap baki hukumannya.

Bagaimanapun, masih belum jelas berapa banyak tempoh hukuman Suu Kyi dikurangkan.

Suu Kyi sebelum ini disabitkan bersalah dalam perbicaraan tertutup dan dijatuhi hukuman melebihi tiga dekad atas pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah dan pelanggaran peraturan COVID-19.

Pengampunan sebahagian kes pada tahun 2023 telah mengurangkan hukumannya kepada 27 tahun.

Min Aung Hlaing turut mengumumkan perintah cuti umum yang hampir serupa, sekali gus memendekkan lagi tempoh hukuman Suu Kyi.

Beliau juga memberikan pengampunan kepada pembantu kanan Suu Kyi, Win Myint, yang pernah berkhidmat sebagai presiden, mencetuskan spekulasi bahawa sekatan terhadap Suu Kyi mungkin akan dilonggarkan selepas ini.

Suu Kyi 80-tahun, kekal sebagai tokoh yang amat popular di Myanmar, namun beliau diasingkan sepenuhnya daripada dunia luar, ketika keluarganya menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kesihatannya yang semakin merosot. -AFP