
BEIJING, 30 April – Aktiviti sektor perkilangan di China mencatatkan pertumbuhan mendadak bagi tempoh dua bulan berturut-turut meskipun berdepan lonjakan harga tenaga serta gangguan rantaian penghantaran susulan konflik di Asia Barat.
- Indeks PMI April 50.3, kekal di atas ambang 50 menunjukkan pengembangan, sedikit menurun dari Mac namun melepasi jangkaan Bloomberg.
- Ekonomi kedua dunia bergelut dengan kelembapan permintaan domestik dan pelaburan yang menjejaskan sektor perkilangan.
- Permintaan kukuh bagi peralatan elektrik dan teknologi maklumat; aktiviti pemprosesan petroleum dan arang batu lebih lemah.
- Pengeluar kekal berdaya tahan walaupun harga tenaga naik dan gangguan global; dasar monetari longgar dan eksport menyokong.
Menurut data rasmi yang dikeluarkan Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS), Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan merekodkan peningkatan kepada paras 50.3 mata pada April.
Bacaan tersebut kekal melepasi ambang 50 mata yang membezakan antara pengembangan dan penguncupan.
Walaupun angka itu menurun sedikit daripada 50.4 pada Mac, ia masih mengatasi jangkaan 50.1 berdasarkan tinjauan ahli ekonomi oleh Bloomberg.
Ekonomi kedua terbesar dunia itu sejak kebelakangan ini bergelut dengan kelembapan permintaan domestik dan pelaburan, yang menjejaskan sektor perkilangannya yang luas.
Pada Mac, bacaan PMI mencatat paras tertinggi dalam tempoh setahun, selepas aktiviti pembuatan menguncup dalam 10 daripada 11 bulan sebelumnya.
Menurut ahli statistik NBS, Huo Lihui, statistik April menunjukkan pengeluaran ekonomi terus berkembang, manakala sektor pembuatan kekal dengan trend positif.
Permintaan kukuh direkodkan bagi peralatan elektrik dan teknologi maklumat (IT), namun aktiviti pasaran bagi pemprosesan petroleum dan arang batu dilihat lebih lemah, katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, pengilang berdepan peningkatan kos apabila harga bahan mentah naik ketara, khususnya dalam sektor tenaga dan kimia.
Data tersebut mencadangkan pengeluar China kekal berdaya tahan walaupun berdepan gangguan ekonomi global akibat konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, yang menyaksikan harga tenaga melonjak serta sekatan akses Iran ke Selat Hormuz — laluan perdagangan penting dunia.
Menurut Presiden dan Ketua Ahli Ekonomi Pinpoint Asset Management, Zhang Zhiwei, indeks PMI menunjukkan sektor pembuatan tidak terjejas secara ketara oleh konflik di Asia Barat.
Tambah beliau, pendirian dasar monetari yang cenderung kepada pelonggaran sedikit membantu mengimbangi tekanan daripada kenaikan harga tenaga.
Sementara itu, penganalisis Capital Economics, Julian Evans-Pritchard, berkata eksport serta permintaan luaran yang kukuh menjadi pemacu utama pertumbuhan tersebut.
Menurutnya, lonjakan permintaan terhadap cip memori dan produk teknologi hijau berkemungkinan memainkan peranan penting. -AFP