TVET berasaskan industri jadi keutamaan, penuhi pasaran kerja

Pendekatan berasaskan industri menjadi keutamaan bagi memastikan graduan TVET bersedia memenuhi kehendak pasaran kerja. /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April – Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memfokuskan kepada latihan praktikal berasaskan industri menjadikan bidang ini semakin relevan dalam memenuhi keperluan sektor tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan berasaskan industri menjadi keutamaan untuk memastikan graduan TVET bersedia memenuhi kehendak pasaran kerja.
  • Pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar dan sijil kompeten meningkatkan kemahiran, keyakinan diri serta kebolehkerjaan graduan.
  • Kerjasama MARA menyediakan laluan ke peringkat lebih tinggi dan pemindahan kredit, membantu memperbanyak graduan serta kurangkan kebergantungan pekerja asing.

Pengarah TVETMARA Bintulu, Dr Mohd Syukri Abdullah berkata pendekatan berasaskan industri terus menjadi keutamaan bagi memastikan graduan bersedia memenuhi kehendak pasaran kerja.

Jelasnya, graduan TVET juga didedahkan dengan persekitaran kerja sebenar bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri.

“Kalau kita lihat dengan adanya sijil kompeten yang ada ini yang kita keluarkan ini, mereka benar-benar boleh mendapat pekerjaan di luar. Sebab graduan yang kita keluarkan bukan sekadar yang lulus peperiksaan, mereka juga lulus sebagai tenaga kerja industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu secara maya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.

Dr Mohd Syukri berkata pihak TVETMARA Bintulu turut menyediakan laluan pendidikan ke peringkat lebih tinggi; melalui kerjasama dengan institusi pengajian di bawah MARA, termasuk peluang pemindahan kredit ke peringkat universiti.

Inisiatif itu dilihat membantu dalam memastikan lebih banyak graduan menceburi bidang TVET seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada keperluan tenaga kerja asing.