
KANGAR, 29 April – Kerajaan Negeri Perlis melancarkan inisiatif ‘Perlis Mendengar Rintihan Rakyat’ bagi mendekati penduduk di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara langsung untuk mendengar serta menyelesaikan isu setempat.
- Inisiatif diurus Majlis Perbandaran Kangar memberi ruang kepada rakyat mengadu isu, aduan dan cadangan terus kepada pemimpin serta agensi berkaitan.
- Program bertujuan mendengar keluh-kesah rakyat dan mencari penyelesaian terbaik bagi setiap permasalahan yang dibangkitkan.
- Penduduk bangkitkan isu jalan runtuh Wang Kelian, penyelenggaraan longkang, lampu jalan, peluang pekerjaan dan kemudahan gerai; MB dan agensi hadir untuk tindakan segera.
Program yang diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) itu memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan isu, aduan, serta cadangan terus kepada pemimpin dan agensi kerajaan berkaitan.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata inisiatif julung kali itu bertujuan mendengar keluh-kesah dan rintihan rakyat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap setiap permasalahan yang dibangkitkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan di Dewan Seri Melati, Beseri yang menjadi lokasi pertama pelaksanaan inisiatif tersebut dengan kehadiran lebih 200 penduduk.
“Menerusi program ini, penduduk dapat berdialog terus dengan kepimpinan kerajaan negeri serta memberi pandangan atau berkongsi idea dalam menyelesaikan sesuatu isu di kawasan mereka,” katanya.
Antara isu utama yang dibangkitkan penduduk di Beseri termasuklah masalah jalan penghubung di Wang Kelian yang terjejas akibat tanah runtuh, isu penyelenggaraan longkang, lampu jalan serta peluang pekerjaan dan kemudahan gerai perniagaan.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah bersama ahli Majlis Perbandaran Kangar serta wakil agensi-agensi kerajaan bagi memberikan khidmat nasihat serta tindakan segera terhadap perkara berbangkit.