PH tegas pertahankan kerajaan Negeri Sembilan demi kestabilan ekonomi dan rakyat

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April -Pakatan Harapan (PH) memberikan komitmen penuh untuk mengekalkan kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar sedia ada demi menjaga kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • PH akan terus memberi kerjasama padu kepada kepimpinan kerajaan negeri dan mempertahankan peranan institusi Raja-Raja Melayu.
  • PH kesal dan menolak tindakan 14 ADUN UMNO BN yang cuba 'menebuk atap' serta menggugat semangat Kerajaan Perpaduan.
  • Tindakan itu tidak mengendahkan kebajikan rakyat ketika negara hadapi krisis bekalan global dan usaha pemulihan ekonomi.
  • PH menyeru fokus kepada kestabilan tadbir urus dan menolak usaha menggugat keharmonian politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu selaras dengan sembah maklum yang telah disampaikan oleh Pengerusi PH kepada di-Pertuan Besar berhubung status pentadbiran negeri yang berjalan seperti biasa.

Beliau menegaskan bahawa PH akan terus memberikan kerjasama padu kepada kepimpinan kerajaan negeri selain komited mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu dalam mendepani situasi politik semasa.

“Pakatan Harapan menzahirkan rasa kesal di atas tindakan yang dibuat oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Tindakan tersebut jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.

“Kami menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan untuk cuba ‘menebuk atap’ dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, apatah lagi alasan tindakan berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Fahmi turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak mempedulikan kebajikan rakyat, terutama ketika negara sedang berdepan dengan krisis bekalan global dan usaha gigih kerajaan untuk menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat.

Sehubungan itu, PH menekankan bahawa fokus utama pada masa ini seharusnya tertumpu kepada kestabilan tadbir urus dan bukannya cubaan untuk menggugat keharmonian politik yang telah dibina dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, spekulasi mengenai kestabilan politik di Negeri Sembilan mula tercetus berikutan tindakan sekumpulan ADUN dari komponen BN yang didakwa cuba merangka peralihan kuasa di peringkat kepimpinan negeri.