Malaysia–Turkiye perkukuh kerjasama pendidikan tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia dan Turkiye memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi dalam usaha melahirkan pemimpin berwibawa yang mampu mendepani cabaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan sebagai diplomasi lestari, membina jambatan antara negara, hati, minda dan generasi masa hadapan.
  • Sidang puncak menegaskan peranan pendidikan tinggi sebagai tonggak diplomasi global dan platform perbincangan pemimpin serta golongan muda.
  • Kepimpinan pendidikan tinggi mesti proaktif: menjangka perubahan, mengurus ketidaktentuan serta membuat keputusan berasaskan data.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, hubungan kedua-dua negara terus diperkasa dengan menjadikan pendidikan sebagai medium utama membentuk generasi muda berdaya kepimpinan, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik.

“Pendidikan merupakan bentuk diplomasi yang paling kekal dan bermakna. Ia bukan sahaja membina jambatan antara negara, malah mengeratkan hubungan antara hati, minda serta generasi masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Leadership Summit: Kuala Lumpur 2026 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sidang kemuncak itu menekankan peranan pendidikan tinggi sebagai tonggak diplomasi global dalam memperkukuh kerjasama intelektual Malaysia-Türkiye bagi menangani cabaran dunia semasa.

Program berkenaan turut menghimpunkan pemimpin serta golongan muda bagi membincangkan evolusi kepimpinan dalam landskap global yang semakin dinamik.

Sementara itu, Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Republik Turkiye, Profesor Dr. Erol Ozvar menegaskan institusi universiti kini berperanan sebagai pemacu transformasi sosial dan ekonomi, justeru kepimpinan pendidikan tinggi perlu bersifat lebih proaktif.

“Pemimpin pendidikan tinggi masa kini mesti berupaya menjangka perubahan, mengurus ketidaktentuan serta membuat keputusan berasaskan data yang boleh dipercayai bagi menyatukan pelbagai pihak di bawah satu visi bersama,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmettin Bilal Erdogan serta bekas pemain bola sepak antarabangsa, Mesut Ozil.

Sidang yang menghimpunkan lebih 500 peserta itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam melahirkan pemimpin beretika di peringkat global.