
ROM, 27 April – Aktivis dari beberapa negara berlepas dari Sicily menuju ke Gaza pada Ahad bersama puluhan kapal yang membawa bantuan awam, lapor Agensi Berita German (dpa).
- Flotila disifatkan sebagai flotila terbesar yang pernah cuba memasuki Gaza, bertujuan membawa bekalan bantuan.
- Misi bertujuan menembusi sekatan tentera laut Israel dan mewujudkan koridor kemanusiaan tetap ke Gaza.
- Kapal daripada organisasi seperti Open Arms dan Arctic Sunrise mengiringi flotila; percubaan sebelum ini dihalang dan diserbu pasukan khas Israel.
Menurut Global Sumud Flotilla, 56 kapal berlepas dari sebuah pelabuhan berhampiran Syracuse selepas tertangguh akibat cuaca, dalam misi yang disifatkan sebagai flotila terbesar pernah cuba memasuki Gaza.
Aktivis pro-Palestin itu sekali lagi berusaha menembusi sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza yang dilaksanakan sejak 2007, bagi membawa bekalan bantuan.
Matlamat Global Sumud Flotilla juga adalah untuk menggerakkan usaha mewujudkan koridor kemanusiaan tetap.
Israel secara konsisten menyekat percubaan aktivis untuk menembusi sekatan tentera laut di luar kawasan pesisir yang terkepung itu.
Dalam percubaan sebelum ini tahun lalu, kumpulan Global Sumud Flotilla yang menggunakan bot layar dan bot bermotor persendirian diserbu pasukan khas Israel dan dihalang daripada sampai ke kawasan berkenaan.
Menurut organisasi itu, kapal terbabit merancang untuk bertemu di laut dengan beberapa lagi bot yang bertolak dari negara lain sebelum meneruskan perjalanan ke timur.
Flotila itu turut diiringi kapal milik pertubuhan bantuan Sepanyol, Open Arms, serta Arctic Sunrise milik kumpulan alam sekitar Greenpeace. – BERNAMA