Erdogan kecam insiden tembakan di majlis makan malam White House

Cermin pecah di Hotel Washington Hilton selepas insiden tembakan pada majlis makan malam White House Correspondents’ Association di Washington/Foto REUTERS

ANKARA, 27 April – Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengecam insiden tembakan pada majlis makan malam White House Correspondents’ Association di Washington, yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan isterinya, Melania Trump.

RINGKASAN BERITA AI
  • Erdogan di X: keganasan tiada tempat dalam demokrasi; selesaikan perbezaan dengan idea, bukan kekerasan.
  • Seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah anggota Perkhidmatan Rahsia di Hotel Washington Hilton, sebelum berjaya ditahan.
  • Anggota Perkhidmatan Rahsia terkena tembakan tetapi terselamat kerana memakai jaket kalis peluru dan kini berada dalam keadaan stabil.
  • Jurucakap Anthony Guglielmi mengesahkan anggota itu telah dibenarkan keluar dari hospital.

Erdogan menerusi hantaran di platform X menegaskan keganasan tidak mempunyai tempat dalam demokrasi dan perbezaan perlu diselesaikan melalui idea, bukan kekerasan.

Dalam kejadian malam Sabtu, Trump dan Melania dibawa keluar oleh ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat selepas seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan di Hotel Washington Hilton.

Suspek dilaporkan melepaskan tembakan menggunakan senapang patah ke arah seorang ejen Perkhidmatan Rahsia di pusat pemeriksaan keselamatan sebelum berjaya ditahan pihak berkuasa.

Trump memaklumkan anggota keselamatan yang terkena tembakan terselamat kerana memakai jaket kalis peluru dan berada dalam keadaan stabil.

Jurucakap Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat, Anthony Guglielmi mengesahkan anggota terbabit telah dibenarkan keluar dari hospital. – REUTERS