
TANJUNG MALIM, 26 April -Tawaran geran kewangan berjumlah AS$60,000 antara tarikan utama Global Educator Award (GEA) 2026 dalam usaha menarik penyertaan pendidik dari seluruh dunia.
- GEA 2026 menyasarkan sehingga 1,000 peserta dari 80 negara, meningkat daripada lebih 300 peserta dari 56 negara tahun lalu.
- UPSI, berpengalaman lebih satu abad dalam pendidikan, menjadi asas kukuh penganjuran program bertaraf antarabangsa.
- Kategori bertanding diperluas kepada 10, merangkumi inovasi digital, pendidikan inklusif, kelestarian dan kolaborasi global.
- Pencalonan dibuka sehingga 15 Julai; majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris itu menyasarkan sehingga 1,000 penyertaan daripada 80 negara, meningkat berbanding lebih 300 penyertaan dari 56 negara pada edisi sulung tahun lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, insentif berkenaan bukan sahaja menggalakkan penyertaan global, tetapi turut memperkasa inovasi dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata, UPSI yang berpengalaman lebih satu abad dalam bidang pendidikan menjadi asas kukuh kepada penganjuran program bertaraf antarabangsa itu.
“Para pendidik di seluruh dunia akan menghantar pencapaian masing-masing berdasarkan usaha yang telah mereka lakukan, dan daripada situ akan dipilih antara yang terbaik. Dalam masa yang sama, kita dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat antarabangsa tentang sistem pendidikan Malaysia.
“Oleh itu, kehadiran mereka bukan sahaja untuk menerima anugerah global tersebut, tetapi juga untuk didedahkan kepada sistem pendidikan negara kita. Mereka akan melawat sekolah-sekolah bagi melihat bagaimana model pendidikan Malaysia dilaksanakan.
“Apabila kembali ke negara masing-masing, mereka boleh menilai bagaimana model tersebut boleh diaplikasikan di peringkat negara mereka,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jom Masuk U 2026 dan Global Educator Award di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.
Bagi edisi 2026, sebanyak 10 kategori dipertandingkan berbanding lima sebelum ini, merangkumi inovasi digital, pendidikan inklusif, kelestarian dan kolaborasi global.
Pencalonan dibuka bermula hari ini hingga 15 Julai, manakala majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
GEA 2026 merupakan inisiatif pengiktirafan bertaraf antarabangsa yang menghargai sumbangan pendidik, institusi pendidikan, penyelidik dan pemain industri dalam memacu kecemerlangan pendidikan global.