JPJ kutip hasil bidaan siri ‘P_P’ lebih RM21.6 juta

Anthony Loke Siew Fook

BATU KAWAN, 25 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil bidaan bernilai lebih RM21.6 juta bagi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri ‘P_P’ sempena sambutan ulang tahun JPJ ke-80.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah penyertaan keseluruhan 19,370 pembida; 5,973 nombor pendaftaran berjaya dimenangi.
  • Bidaan tertinggi P1P RM1.1 juta; P9P RM1,000,777; P8P RM613,000; P6P RM600,777; P2P RM512,000.
  • Hasil bidaan siri P_P akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui inisiatif Kementerian Pengangkutan seperti MyLESEN dan pertukaran topi keledar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah penyertaan keseluruhan pembida direkodkan sebanyak 19,370 orang dan 5,973 nombor pendaftaran berjaya memenangi.

“Ramai yang sanggup membayar harga tinggi untuk mendapatkan nombor ini. Secara keseluruhan, hasil yang diperoleh daripada siri P ini adalah sebanyak RM21.6 juta.

“Bidaan tertinggi didahului P1P yang mencatat bidaan tertinggi dengan RM1.1 juta, diikuti P9P (RM1,000,777), P8P (RM613,000), P6P (RM 600,777) dan P2P (RM512,000),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini.

Hasil bidaan NPI termasuk siri P_P akan dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan seperti program MyLESEN dan pertukaran topi keledar.