
GENEVA, 25 April- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat meluluskan pra-kelayakan rawatan malaria pertama yang khusus untuk bayi baru lahir dan bayi, sekali gus dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha menangani penyakit bawaan nyamuk itu di negara endemik.
- Artemether-lumefantrine ialah formulasi antimalaria pertama direka khas untuk kumpulan umur paling muda.
- Sebelum ini, bayi yang dijangkiti dirawat menggunakan formulasi kanak-kanak.
- Penetapan pra-kelayakan mengesahkan ubat memenuhi piawaian antarabangsa dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
- Kelulusan dijangka menutup jurang rawatan bagi kira-kira 30 juta bayi lahir setiap tahun di kawasan endemik Afrika.
Ubat artemether-lumefantrine merupakan formulasi antimalaria pertama yang direka khusus untuk kumpulan umur paling muda.
Sebelum ini, bayi yang dijangkiti penyakit itu dirawat menggunakan formulasi kanak-kanak.
“Penetapan pra-kelayakan ini menunjukkan ubat tersebut memenuhi standard antarabangsa dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” menurut WHO.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata kemajuan tersebut membuka lembaran baharu dalam usaha memerangi malaria yang telah lama meragut jutaan nyawa.
“Selama berabad-abad, malaria telah menyebabkan ramai kanak-kanak meninggal dunia serta merosakkan kesihatan, ekonomi dan masa depan masyarakat. Namun hari ini, naratif itu berubah,” katanya.
Menurut WHO, pada tahun 2024 dianggarkan terdapat 282 juta kes malaria dan 610,000 kematian di 80 negara.
Afrika menyumbang sekitar 95 peratus kes dan kematian, manakala kanak-kanak bawah lima tahun merangkumi kira-kira tiga perempat daripada jumlah kematian.
Kelulusan itu dijangka membantu menutup jurang rawatan bagi kira-kira 30 juta bayi yang lahir setiap tahun di kawasan endemik malaria di Afrika. -AFP