
KRUBONG, 24 April– Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menyeleweng kira-kira 1,200 liter diesel bernilai lebih RM93,000 menggunakan fleetcard milik individu lain.
- Suspek ditahan dalam Ops Tiris 4.0 ketika membuat pengisian diesel kali keempat di sebuah stesen minyak sekitar Taman Malim Permai.
- Pemeriksaan menemui tangki tambahan sekitar 6,000 liter dipasang dalam lori, satu set pam motor dan fleetcard dirampas.
- Siasatan dijalankan untuk tentukan penglibatan sindiket; pemilik fleetcard dikesan; kes disiasat bawah Subperaturan 21(1) dan Seksyen 21.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, suspek ditahan dalam Op Tiris 4.0.
Penahanan dibuat di sebuah stesen minyak di Taman Malim Permai kira-kira pukul 11 malam semalam.
Menurut beliau, suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu dipercayai sedang melakukan pengisian diesel buat kali keempat ketika ditahan.
“Siasatan mendapati suspek membeli diesel secara runcit menggunakan fleetcard sebelum menjual semula bahan api bersubsidi itu kepada pelanggan di tapak pembinaan.
Hasil serbuan turut menemukan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 6,000 liter yang dipasang dalam lori bagi tujuan penyimpanan,” katanya dalam sidang media di sini.
Turut dirampas satu set pam motor yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel ke tangki tambahan serta fleetcard yang digunakan dalam pembelian.
Kesalahan dipercayai dilakukan di empat stesen minyak sekitar Malim.
Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek bertindak bersendirian atau terlibat dalam sindiket.
Pemilik fleetcard turut dikesan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN menegaskan akan terus mempergiat pemantauan dan memberi amaran kepada pihak terlibat agar tidak menyalahgunakan barang kawalan.