
KUALA NERUS, 24 April – Terengganu FC (TFC) akan menurunkan semua pemain import termasuk Yann Mabella bagi memperkuat pasukan pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam esok.
- Yann Mabella kini berada pada tahap kecergasan terbaik selepas pulih daripada kecederaan lutut sejak Disember.
- Beberapa pemain yang cedera dan direhatkan ketika perlawanan dengan JDT kembali pulih.
- Kehadiran Mabella mampu memperkukuh jentera serangan serta memberi pilihan taktikal kepada pasukan.
- Tengku Hazman mengingatkan pemain supaya konsisten dan sasar tiga mata penuh untuk kukuhkan kedudukan liga.
Pemangku ketua jurulatih TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berkata semua pemain termasuk Mabella berada dalam keadaan baik dan bebas kecederaan kecuali Muhammad Akhyar Rashid dan Muhamad Baquiddin Shamsudin.
“Mabella berada pada tahap kecergasan terbaik selepas pulih daripada kecederaan lutut sejak Disember lepas. Begitu juga beberapa pemain yang cedera dan direhatkan daripada perlawanan dengan JDT, juga kembali pulih.
“Kehadiran Mabella mampu memperkukuh kembali jentera serangan selain memberi pilihan taktikal kepada pasukan,” katanya.
Tengku Hazman turut mengingatkan anak buahnya supaya konsisten dan memanfaatkan sebaiknya perlawanan di laman sendiri, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super musim ini.
“Apa yang saya harapkan agar pemain meneruskan konsistensi dan permainan bertenaga sama seperti ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.
“Amat penting untuk kita meraih tiga mata, lebih-lebih lagi di laman sendiri. Untuk tiga perlawanan terakhir ini kita sasarkan tiga mata penuh untuk kukuhkan kedudukan di persada liga,” katanya. – BERNAMA