Maritim Malaysia teliti penggunaan senjata tidak bawa maut

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 April – Penggunaan senjata tidak membawa maut termasuk pistol perenjat elektrik sedang diteliti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah ini bertujuan memastikan penguatkuasaan lebih fleksibel dan terkawal.
  • Penggunaan seiring amalan penguatkuasaan antarabangsa untuk menangani situasi tertentu.
  • Menilai keperluan senjata operasi bertaraf antarabangsa bagi pemeriksaan kapal dan mengekang jenayah rentas sempadan.
  • Pemodenan melibatkan integrasi persenjataan, sistem pemantauan canggih dan pemerkasaan elemen risikan, bukan hanya penambahan aset fizikal.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha memastikan penguatkuasaan lebih fleksibel dan terkawal.

“Penggunaan senjata berkenaan adalah selaras dengan amalan penguatkuasaan di peringkat global bagi menangani situasi tertentu,” katanya.

Menurut beliau, Maritim Malaysia turut menilai keperluan penggunaan senjata operasi bertaraf antarabangsa, khususnya bagi mendepani situasi berisiko tinggi seperti pemeriksaan kapal nelayan asing dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan keselamatan anggota kita sentiasa terjamin ketika berhadapan dengan situasi yang tidak menentu di tengah laut,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju agensi, Datuk Saiful berkata tumpuan penuh kini diberikan terhadap pemodenan sistem persenjataan bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan di perairan negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa fokus pemodenan tersebut tidak hanya terhad kepada penambahan aset fizikal semata-mata.

“Ia melibatkan integrasi menyeluruh yang merangkumi aspek persenjataan, sistem pemantauan canggih serta pemerkasaan elemen risikan,” katanya.