Jemaah haji diseru manfaat masa, fokus ibadah sebelum ke Mekah

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun menyantuni jemaah haji  yang tiba di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick/Foto RTM

MADINAH, 20 April – Jemaah haji Malaysia diingatkan agar menghargai peluang berada di Madinah dan memanfaatkan masa sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan ibadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jaga kesihatan sepanjang di Madinah sebagai persediaan sebelum berangkat ke Mekah untuk menunaikan rukun haji.
  • Berikan tumpuan penuh kepada ibadah haji di Mekah dan pastikan segala rukun serta wajib dilaksanakan dengan sempurna.
  • Gunakan peluang ziarah sejarah dan bermunajat di Raudhah; penginapan strategik memudahkan akses ke Masjid Nabawi.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, Madinah bukan sekadar tempat persinggahan atau transit, sebaliknya kota bersejarah yang menjadi lokasi perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

“Isilah masa dengan ibadah sebanyak mungkin di kota yang penuh barakah ini,” katanya ketika menyantuni jemaah di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick di sini.

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan sepanjang berada di Madinah sebagai persediaan sebelum berangkat ke Kota Mekah bagi menyempurnakan rukun haji.

Mengikut jadual, kumpulan pertama (PKT1) akan mula bergerak ke Mekah pada 23 April ini jam 11 pagi bagi memulakan ibadah umrah.

Sepanjang berada di Mekah nanti, keutamaan jemaah adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah haji serta menjaga kesihatan bagi memastikan segala rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Dalam perkembangan sama, ketibaan jemaah haji Malaysia di Kota Madinah terus berjalan lancar apabila penerbangan KT5 yang membawa seramai 284 jemaah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, semalam.

Ketibaan kumpulan berkenaan di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick turut disambut Mohd Hisham.

Dengan ketibaan terbaharu itu, jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Madinah mencecah 1,700 orang.

Sementara itu, jemaah bagi penerbangan KT6 turut selamat tiba di lapangan terbang, sekali gus menambah bilangan Dhuyufurrahman yang berada di tanah suci.

Bagi memastikan keselesaan jemaah, kesemua mereka ditempatkan di tiga hotel utama di kawasan strategik Markaziah.

Antaranya Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Emaar Elite dan Hotel Emaa Royal.

Lokasi penginapan itu dipilih bagi memudahkan jemaah berulang-alik menunaikan ibadah di Masjid Nabawi sepanjang tempoh berada di Madinah.

Sepanjang berada di Madinah, jemaah turut digalakkan menghayati sejarah perjuangan Islam melalui aktiviti ziarah yang disusun.

Antara pengisian utama ialah menziarahi Makam Rasulullah SAW dan Perkuburan Baqi’, selain melawat lokasi bersejarah seperti Bukit Uhud.

Peluang untuk bermunajat di Raudhah turut menjadi keutamaan dan jemaah diseru mengambil kesempatan itu untuk berdoa demi diri sendiri, keluarga serta kesejahteraan negara.

Dalam pada itu, pihak pengurusan merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas Tabung Haji serta rakan media yang bertugas hampir 24 jam bagi memastikan kebajikan dan keselesaan Dhuyufurrahman sentiasa terpelihara sepanjang berada di tanah suci.