
KUALA LUMPUR, 18 April – Kabinet sentiasa bersedia bagi sebarang langkah pemotongan gaji sekiranya krisis tenaga global semakin meruncing.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, gaji menteri telah dikurangkan sejak hari pertama memegang jawatan sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan.
“Saya sedia terima apa-apa arahan daripada Perdana Menteri. Kita pernah bincang, tetapi terpulang kepada Perdana Menteri apa yang ingin dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Penyakit Tiga Serangkai Jadi Fokus Kempen Kesihatan Universiti Malaya 2026’, di sini.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan pemotongan gaji menteri Kabinet sekiranya keadaan ekonomi negara menjadi lebih meruncing susulan krisis tenaga global.
Beliau, bagaimanapun berkata kadar gaji menteri di Malaysia adalah relatif rendah jika dibandingkan dengan tanggungjawab yang dipikul, namun kadar itu masih munasabah selagi prestasi kerja berada pada tahap baik.