
KUALA LUMPUR, 18 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada jemaah haji Malaysia yang terpilih bagi menunaikan rukun Islam kelima itu, tahun ini.
- Mendoakan urusan jemaah dipermudah, dikurniakan kesihatan baik dan dilindungi Allah SWT sepanjang berada di Tanah Suci.
- Harapan agar seluruh jemaah dikurniakan haji mabrur, pulang membawa keberkatan, keinsafan dan semangat menjadi hamba yang ikhlas.
- Seramai 31,600 jemaah akan menunaikan haji tahun ini; kumpulan pertama 284 orang berlepas awal pagi dari KLIA.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan tahniah kepada jemaah haji Malaysia yang telah terpilih untuk menyahut panggilan suci ke Baitullah tahun ini, dan telah memulakan perjalanan ke Tanah Suci bermula awal pagi tadi.
“Sesungguhnya, ibadah haji adalah perjalanan agung yang menuntut pengorbanan, keikhlasan, kesabaran dan ketakwaan,” menurutnya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu, Perdana Menteri turut mendoakan agar segala urusan jemaah dipermudah, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT sepanjang berada di Tanah Suci.
“Saya mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan yang baik, serta dilindungi sepanjang berada di Tanah Suci.
“Mudah-mudahan seluruh jemaah dikurniakan haji mabrur yang tiada balasan melainkan syurga, serta pulang ke tanah air dengan membawa keberkatan, keinsafan dan semangat untuk menjadi hamba Allah SWT yang mukhlisin.
“Selamat menunaikan ibadah haji. Semoga Allah menerima segala amalan dan mengurniakan keberkatan kepada kita semua,” katanya.
Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji tahun ini dengan kumpulan pertama terdiri daripada 284 orang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 4.05 pagi tadi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050.
Penerbangan terakhir membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci adalah pada 20 Mei ini.