Isu pencemaran di Kedah membimbangkan, tiga sumber utama jadi tumpuan

Foto JAS Kedah

ALOR SETAR, 18 April -Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah bagi tempoh tahun 2025 hingga awal 2026, isu pencemaran masih tertumpu kepada tiga kategori utama iaitu pelepasan efluen industri, pengurusan buangan terjadual serta pembakaran terbuka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu pencemaran masih membimbangkan dan memerlukan perhatian serius serta tindakan bersama semua pihak.
  • Punca utama masalah bukan kelemahan sistem tetapi sikap segelintir masyarakat.
  • Industri diseru menjadikan pematuhan peraturan sebagai kelebihan strategik untuk reputasi dan daya saing.
  • Seminar bertujuan memperkukuh kefahaman, meningkatkan pematuhan perundangan dan mempererat kerjasama kerajaan serta industri.

Perkembangan itu menunjukkan bahawa cabaran alam sekitar masih berada pada tahap yang membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, punca utama kepada isu berkenaan bukan disebabkan kekurangan sistem atau penguatkuasaan, sebaliknya berpunca daripada sikap segelintir masyarakat.

“Pematuhan terhadap peraturan bukan sekadar kewajipan undang-undang, tetapi merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

“Justeru industri diseru untuk melihat pematuhan sebagai satu kelebihan strategik yang mampu meningkatkan daya saing dan reputasi organisasi,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar on Environmental Management and Regulatory Compliance 2026 sempena Sambutan Hari Bumi 2026, di sini.

Seminar itu menghimpunkan kira-kira 400 peserta daripada pelbagai sektor, termasuk industri, perunding alam sekitar, agensi kerajaan serta pihak berkepentingan.

Turut serta ialah 25 syarikat jururunding, pempamer peralatan kawalan pencemaran dan makmal dari seluruh Malaysia.

Seminar tersebut bertujuan memperkukuh kefahaman serta meningkatkan tahap pematuhan terhadap keperluan perundangan alam sekitar, khususnya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Selain itu, ia menjadi platform penting dalam mempererat kerjasama strategik antara pihak kerajaan dan industri ke arah pengurusan alam sekitar yang lebih mampan dan berkesan.