
WASHINGTON, 17 April – Harga minyak global dijangka turun naik antara US$95 dan US$120 setong dalam tempoh terdekat susulan konflik yang berlaku di Asia Barat, menurut Kyle Shostak, Pengarah Navigator Principal Investors, lapor Sputnik/RIA Novosti.
- Pentadbiran Trump berharap sekatan terhadap minyak Iran mendorong China meyakinkan Tehran bersetuju dengan pusingan rundingan baharu.
- Shostak tidak yakin penyelesaian pantas; memberi amaran kemungkinan ketegangan baharu yang menjejaskan pasaran minyak global.
- Pasaran kini berharap pengurangan ketegangan dan sambungan rundingan Amerika Syarikat dan Iran, namun jangkaan realistik ialah tindakan ketenteraan berskala kecil semula.
- Tentera Laut AS mula menyekat trafik maritim dari dan ke pelabuhan Iran di Selat Hormuz, mengancam kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
“Pembacaan saya dalam keadaan ini ialah pentadbiran Trump berharap bahawa sekatan ke atas bekalan minyak Iran, yang sebahagian besarnya menuju ke China akan menggalakkan Beijing untuk meyakinkan rakannya di Tehran supaya bersetuju dengan satu pusingan baharu rundingan yang bermakna. Sebelum itu, pergerakan harga minyak akan turun naik antara US$95 hingga US$120 setong,” kata Shostak.
Beliau percaya tahap tertinggi harga bagi minyak mentah Brent adalah sekitar US$115 hingga US$120 setong.
Pakar itu tidak menzahirkan keyakinan terhadap penyelesaian konflik Asia Barat dalam masa terdekat, malah memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya ketegangan baharu di rantau terbabit yang akan memberi kesan kepada harga minyak global.
Menurut Shostak, walaupun pasaran ketika ini seolah-olah terpengaruh dengan senario pengurangan ketegangan dan berharap rundingan Amerika Syarikat (AS)-Iran akan disambung semula, jangkaan yang lebih realistik adalah kemungkinan berlakunya semula tindakan ketenteraan dalam skala yang lebih kecil.
Pada 11 April, Iran dan AS memulakan rundingan di Islamabad selepas Trump mengumumkan persetujuan dengan Tehran mengenai gencatan senjata selama dua minggu.
Bagaimanapun, pada 12 April, Naib Presiden JD Vance memaklumkan kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan itu dan delegasi AS akan pulang tanpa sebarang persetujuan.
Pada 13 April, Tentera Laut AS mula menyekat semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran di kedua-dua belah Selat Hormuz, yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia, produk petroleum dan gas asli cecair (LNG).
Washington menegaskan bahawa kapal bukan milik Iran bebas untuk melalui Selat Hormuz selagi mereka tidak membayar tol kepada Tehran.
Pihak berkuasa Iran belum mengumumkan pelaksanaan sebarang tol, namun telah membincangkan rancangan ke arah itu.- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI