EU, China dan Arab Saudi sambut baik perjanjian AS-Iran tamatkan perang

Gambar Hiasan / AFP

BRUSSELS, 15 Jun – Kesatuan Eropah (EU), Arab Saudi dan China menyambut baik perjanjian Amerika Syarikat (AS)-Iran untuk menamatkan perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • EU sanggup menyumbang kepada strategi menyeluruh bagi keamanan berkekalan dan pemulihan penuh kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
  • Pelaksanaan cepat perlu; perjanjian akhir mesti tangani program nuklear dan peluru berpandu Iran, serta hormati kedaulatan Lubnan dan gencatan senjata sebenar.
  • Arab Saudi tekankan penyelesaian jangka panjang mesti pertimbangkan keselamatan serantau dan prinsip tidak campur tangan; China mahu laluan selamat Selat Hormuz dipulihkan segera.

Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa berkata, EU sangat menantikan perang tersebut berakhir dan pemulihan penuh kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

Menurut Costa, EU bersedia menyumbang kepada usaha memajukan strategi menyeluruh bagi keamanan berkekalan di rantau berkenaan.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pula berkata keutamaan sekarang ialah memastikan perjanjian itu dilaksanakan secepat mungkin dan menyeluruh.

Beliau turut menegaskan pembukaan semula Selat Hormuz penting bagi kestabilan serantau dan ekonomi global, manakala perjanjian akhir perlu menangani program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran yang menggugat kestabilan rantau itu.

Selain itu, Leyen menggesa semua pihak menghormati kedaulatan serta keutuhan wilayah Lubnan dan melaksanakan gencatan senjata yang sebenar.

“Tidak akan ada keamanan di Asia Barat selagi Lubnan masih bergolak,” katanya.

Ketua diplomat EU Kaja Kallas berkata menteri-menteri luar blok berkenaan akan membincangkan bagaimana EU boleh terlibat secara rapat dalam fasa rundingan seterusnya.

Sementara itu, Riyadh turut menyambut baik perjanjian antara AS dan Iran untuk menamatkan operasi ketenteraan serta memulakan rundingan terperinci dalam tempoh 60 hari bagi mencapai perjanjian kekal.

Kementerian Luar Arab Saudi bagaimanapun menegaskan sebarang penyelesaian jangka panjang perlu mengambil kira kepentingan keselamatan negara-negara serantau, selain berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

China turut menyambut baik perkembangan itu dan berharap perjanjian berkenaan ditandatangani seperti dijadualkan.

“Beijin berharap laluan selamat dan bebas melalui Selat Hormuz dipulihkan secepat mungkin,” kata Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.