Divisyen 1 Piala Dunia Takraw 2026 dibatalkan

Datuk Abdul Halim Kader (tengah) bercakap pada sidang media selepas Majlis Undian Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April – Saingan regu Divisyen 1 pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadual berlangsung bulan depan terpaksa dibatalkan susulan penarikan diri majoriti pasukan akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim sahkan 10 daripada 12 pasukan menarik diri; permohonan naik ke Divisyen Premier tidak diluluskan.
  • Sepuluh pasukan menarik diri: Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Kanada, Poland, Perancis, Amerika Syarikat, Timor-Leste, Arab Saudi dan Oman.
  • Pakistan dan Iraq kekal untuk bersaing dalam Divisyen 1.
  • Kejohanan 16 hingga 23 Mei di Stadium Titiwangsa diteruskan untuk divisyen lain termasuk Divisyen Premier yang disertai 14 pasukan.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, sebanyak 10 daripada 12 pasukan yang dijadualkan beraksi dalam divisyen berkenaan telah mengesahkan penarikan diri.

“Daripada 12 pasukan dalam Divisyen 1, 10 telah menarik diri. Ada permohonan untuk naik ke Divisyen Premier tetapi itu tidak boleh dilaksanakan.

“Kami berasa sedih kerana tidak dapat meneruskan saingan Divisyen 1 tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Undian Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia, pada Rabu.

Antara pasukan yang menarik diri ialah Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Kanada, Poland, Perancis, Amerika Syarikat, Timor-Leste, Arab Saudi dan Oman, manakala Pakistan serta Iraq kekal untuk bersaing.

Bagaimanapun, kejohanan yang dijadual berlangsung 16 hingga 23 Mei di Stadium Titiwangsa tetap diteruskan bagi divisyen lain termasuk Divisyen Premier yang akan disertai 14 pasukan.