
KUALA LUMPUR, 22 April – Penerjun muda negara Yong Rui Jie antara prospek terbaik untuk menyumbang pingat pada Sukan Asia 2026 di Aichi Nagoya, Jepun, dengan Pengarah Teknikal skuad terjun negara Yeoh Ken Nee menyifatkannya sebagai atlet paling konsisten.
- Meraih pingat gangsa acara papan anjal 1m pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.
- Memenangi emas acara 3m papan anjal seirama bersama Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim.
- Juara berganda Kejohanan Ujian Kebangsaan di Bukit Jalil dan mendominasi acara 1m serta 3m seirama.
Ken Nee berkata prestasi Rui Jie, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Thailand tahun lepas, menunjukkan potensi besar khususnya dalam acara papan anjal dan dijangka mampu memberikan keputusan memberangsangkan di pentas Asia.
“Saya menjangkakan Yong Rui Jie mampu muncul sebagai antara yang terbaik sebab prestasi terjunannya konsisten dalam setiap acara disertainya.
“Kalau berbanding dengan atlet senior lain, dia antara paling berbakat dalam acara ini (papan anjal). Jadi, kami meletakkan harapan tinggi agar dia dapat mencatatkan keputusan memberangsangkan pada Sukan Asia nanti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tahun lepas, penerjun berusia 20 tahun itu mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa acara papan anjal 1 meter (m) lelaki pada temasya Sukan SEA.
Rui Jie turut tampil cemerlang untuk mengutip emas dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki bersama pasangannya Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim selain muncul juara berganda pada Kejohanan Ujian Kebangsaan di Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Atlet berasal dari Kuala Lumpur itu turut mendominasi acara 1m lelaki dan 3m papan anjal seirama bersama Nurqayyum. – BERNAMA