Pilihan raya Presiden Peru: Calon berhaluan kiri curi tumpuan

Calon berhaluan kiri, Roberto Sanchez/AFP

LIMA, 16 April – Calon berhaluan kiri, Roberto Sanchez, melonjak ke kedudukan kedua dalam pilihan raya presiden Peru pada Rabu, sekali gus muncul sebagai pencabar utama kepada pendahulu, Keiko Fujimori, bagi pusingan penentuan Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keiko Fujimori mendahului dengan hampir 17 peratus; Roberto Sanchez kedua 12 peratus, Rafael López Aliaga 11.8 peratus.
  • Proses pengiraan undi belum selesai; keputusan rasmi masih boleh berubah.
  • Misi pemerhati EU sahkan pengundian berjalan lancar walaupun kelewatan logistik penghantaran kertas undi di Lima.
  • Sanchez dilihat pewaris politik Pedro Castillo, mendapat sokongan kuat dari kawasan luar bandar dan wilayah Andes selatan.

Berdasarkan pengiraan lebih 91 peratus undi, Fujimori yang merupakan anak kepada bekas presiden Peru, Alberto Fujimori, mendahului dengan hampir 17 peratus undi, manakala Sanchez mengekori di tempat kedua dengan 12 peratus.

Sanchez berjaya memintas calon ultra-konservatif yang juga bekas Datuk Bandar Lima, Rafael Lopez Aliaga, yang kini berada di kedudukan ketiga dengan 11.8 peratus undi.

Bagaimanapun, keputusan rasmi masih boleh berubah memandangkan proses pengiraan masih lagi belum selesai.

Misi pemerhati pilihan raya Kesatuan Eropah (EU) turut mengesahkan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang isu integriti, meski pun terdapat beberapa kelewatan logistik dalam penghantaran kertas undi di ibu negara, Lima.

Sanchez, 57, yang juga bekas menteri perdagangan, dilihat sebagai pewaris politik kepada bekas pemimpin Pedro Castillo yang kini dalam penjara.

Beliau mendapat sokongan padu dari kawasan luar bandar dan wilayah pergunungan Andes selatan.

“Kertas undi tidak menipu,” kata Sanchez kepada AFP sambil menegaskan sebarang dakwaan salah laku perlu disertakan dengan bukti yang kukuh.

Fujimori turut senada menyeru rakyat supaya bertenang bagi mengelakkan pergolakan lanjut di negara yang telah menyaksikan pertukaran lapan presiden dalam tempoh 10 tahun itu.

“Hari ini, lebih daripada sebelumnya, tanggungjawab dan kematangan politik amat diperlukan. Kita tidak boleh membiarkan lebih banyak kekacauan berlaku,” katanya.

Sebaliknya, Lopez Aliaga yang merupakan penyokong kuat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengancam akan mengadakan protes besar-besaran di seluruh negara jika tuntutannya untuk membatalkan keputusan pilihan raya tidak dipenuhi dalam tempoh 24 jam.

Pilihan raya kali ini menyaksikan seramai 35 calon bertanding di tengah-tengah ketidakstabilan politik Peru yang menyaksikan kebanyakan kempen dipenuhi oleh cadangan menangani peningkatan kes jenayah terancang. – AFP