
BANDA HILIR, 21 April – Tiga inisiatif utama diperkenalkan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka.
- Melaka perkenal tiga inisiatif utama untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam sektor TVET.
- Inisiatif merangkumi projek technopreneur dan pembangunan pangkalan data TVET bersepadu.
- Melaka Centre of Excellence MCOE ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan negeri menyelaras latihan bagi bakal pekerja dan majikan.
- MCOE diselaraskan hampir sepenuhnya dengan kerjasama industri, padan latihan mengikut keperluan industri dan dijangka beroperasi 2027.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, berkata inisiatif itu merangkumi projek technopreneur, pembangunan pangkalan data TVET bersepadu serta penubuhan Melaka Centre of Excellence (MCOE).
Menurutnya, MCOE yang berperanan sebagai pusat kecemerlangan negeri akan menyelaras latihan kepada bakal pekerja dan majikan secara lebih tersusun serta selari dengan keperluan industri.
“Pada asasnya, ia adalah pusat kecemerlangan yang diselaraskan hampir sepenuhnya dengan kerjasama industri sendiri, sekali gus menjadikannya diiktiraf dan dipandu oleh pihak industri.
“Apa yang diperlukan industri, kita akan sama-sama padankan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka 2026 di Banda Hilir.
Tambahnya, pusat berkenaan dijangka mula beroperasi pada 2027.