Malaysia amalkan pendekatan pragmatik, pertahan diplomasi berkecuali

Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 21 April – Malaysia tidak akan sesekali bersikap pasif atau berdiam diri dalam soal kedaulatan antarabangsa meskipun mengamalkan dasar diplomasi berkecuali, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan diplomasi pragmatik dan bebas, menjalin hubungan baik sambil menegakkan prinsip keadilan sejagat.
  • Malaysia mengecam serangan ke atas Iran sebagai pembelaan kedaulatan menurut undang-undang antarabangsa.
  • Aktif mengadakan rundingan dengan pemimpin Turkiye, Pakistan serta bekerjasama dengan PBB dan Amerika Syarikat untuk penyelesaian aman.
  • Mengimbangi ketegasan kedaulatan dengan kesinambungan hubungan perdagangan demi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menyifatkan pendekatan diplomasi negara sebagai pragmatik dan bebas, dengan Malaysia memilih untuk menjalin hubungan baik terhadap semua pihak namun tetap berdiri teguh atas prinsip keadilan sejagat.

“Apabila kita katakan berkecuali, bukan maknanya kita pasif ataupun kabur dari segi pendirian kita. Sebaliknya, kita ada prinsip dan kita pragmatik dengan penglibatan bersama pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama Radio bertajuk “Krisis Geopolitik Pacu Peralihan Tenaga Malaysia” hari ini.

Selain itu, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memberikan contoh tindakan tegas Malaysia mengecam serangan ke atas Iran baru-baru ini sebagai manifestasi mempertahankan kedaulatan negara di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia juga aktif melaksanakan rundingan diplomatik dengan pelbagai ketua negara termasuk Turkiye dan Pakistan, selain bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat bagi mencari jalan penyelesaian keamanan.

Meskipun tegas dalam aspek kedaulatan, Malaysia tetap mengimbangi hubungan diplomatik dari sudut perdagangan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas.

“Diplomasi kita menghubungkan dari segi hubungan diplomatik yang tetap kekal terutamanya bagi aspek perdagangan. Pertumbuhan perdagangan kita dengan China, Amerika Syarikat, Eropah dan rantau ASEAN tetap menunjukkan kenaikan,” katanya.

Beliau berkata matlamat utama diplomasi Malaysia adalah untuk melihat keamanan dunia yang stabil bagi menjamin kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. – BERNAMA