Pembayar cukai disaran kemas kini maklumat secara berkala, bukan hanya musim e-Filing

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 April- Pembayar cukai disaran supaya lebih proaktif mengemas kini maklumat percukaian masing-masing secara berkala, dan tidak hanya menunggu musim pengisytiharan pendapatan (e-Filing).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemas kini maklumat percukaian secara berkala untuk memastikan pendapatan, pelepasan dan status cukai tepat dan terkini.
  • Pematuhan termasuk laporan pendapatan jujur, penyimpanan rekod lengkap dan memahami kelayakan pelepasan cukai.
  • Gagal mematuhi boleh mengundang tindakan penguatkuasaan; manfaatkan platform digital MyTax untuk semakan, kemaskini profil dan notifikasi.

Eksekutif Hasil Kanan I Jabatan Pungutan Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Azaharuddin Mohd Ali berkata kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab cukai lazimnya hanya meningkat apabila tiba tempoh pengisytiharan berkenaan.

“Ramai masyarakat hanya membuka aplikasi MyTax atau portal hasil.gov.my apabila ingin mengemukakan e-Filing, sedangkan semakan berkala penting bagi memastikan maklumat seperti pendapatan, pelepasan cukai dan status cukai sentiasa tepat dan terkini.

“Pematuhan cukai bukan sahaja melibatkan pembayaran, malah merangkumi tanggungjawab melaporkan pendapatan dengan jujur, menyimpan rekod kewangan yang lengkap serta memahami kelayakan pelepasan cukai,” katanya semasa menjadi tetamu ‘Klinik Cukai’ yang disiarkan Bernama Radio, hari ini.

Azaharuddin mengingatkan kegagalan mematuhi tanggungjawab percukaian boleh berdepan tindakan penguatkuasaan LHDN, sambil menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan digital seperti MyTax bagi memudahkan urusan mereka.

“Platform ini bukan sahaja memudahkan proses e-Filing, malah membolehkan pembayar cukai menyemak maklumat, mengemas kini profil serta mendapatkan notifikasi berkaitan cukai dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata hasil kutipan cukai memainkan peranan kritikal dalam membiayai agenda pembangunan negara termasuk penyediaan infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.- BERNAMA