Hakim Danish fokus cipta keputusan terbaik di Jerez

Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli  / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 April – Rekod cemerlang pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli di Litar Jerez, Sepanyol bakal memberi kelebihan menjelang perlumbaan Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bertekad menampilkan tunggangan berkualiti di litar kegemaran untuk memburu keputusan positif pada pusingan Jerez.
  • Teruja kembali berlumba selepas tiga minggu berehat, berasa bersemangat dan bermotivasi menjelang perlumbaan.
  • Kekal di Sepanyol tiga minggu selepas GP Amerika untuk meneruskan latihan jentera, berbasikal dan berlari bersama pelumba lain.
  • Berpengalaman di Jerez dengan dua podium kedua berturut turut, sedia manfaatkan selekoh laju dan hadapi zon hard braking.

Pelumba kelahiran Terengganu itu bertekad untuk menampilkan tunggangan berkualiti di litar kegemarannya itu bagi memburu keputusan yang positif pada perlumbaan berkenaan pada 24 hingga 27 April ini.

Malah katanya, beliau juga teruja untuk kembali berlumba selepas tiga minggu berehat dengan saingan di GP Amerika Syarikat (COTA) menjadi perlumbaan terakhir yang disertainya.

“Selepas tiga minggu berehat, minggu ini adalah minggu perlumbaan bagi pusingan keempat di Jerez. Saya sangat tidak sabar untuk kembali beraksi dan berasa cukup bersemangat serta bermotivasi menjelang hujung minggu ini.

“Selepas tamat perlumbaan di GP Amerika Syarikat, saya kekal berada di Sepanyol selama tiga minggu untuk meneruskan latihan jentera, berbasikal dan berlari bersama pelumba lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Litar Jerez bukanlah trek asing buat Hakim Danish yang sebelum ini pernah mencipta kejutan di litar sama apabila berjaya menaiki podium tempat kedua sebanyak dua kali berturut-turut dalam kejuaraan berprestij Red Bull MotoGP Rookies Cup.

Justeru pelumba berusia 18 tahun itu menyasarkan untuk memanfaatkan sepenuhnya selekoh berkelajuan tinggi dan bersedia menghadapi cabaran zon hard braking yang sinonim dengan litar tersebut.

Bagaimanapun, beliau tetap berwaspada kerana cabaran sebenar di Jerez menuntut tahap fokus tinggi sepanjang perlumbaan, terutama dari segi kawalan di setiap selekoh teknikal sepanjang 4.4 kilometer (km) yang mempunyai lapan selekoh kanan, lima selekoh kiri serta laluan lurus sejauh 607 meter.

“Walaupun terdapat selekoh ‘stop-and-go’ serta zon hard braking, saya berharap dapat melakukan yang terbaik. Saya juga berharap rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan saya bagi perlumbaan hujung minggu ini,” katanya.

Untuk rekod, Hakim Danish ketika ini mengumpul sembilan mata untuk berada di kedudukan ke-14 dalam carta pelumba Moto3.- BERNAMA