Wembanyama lakar sejarah Pemain Pertahanan Terbaik NBA

FOTO AFP

LOS ANGELES, 21 April – Bintang San Antonio Spurs, Victor Wembanyama, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Pemain Pertahanan Terbaik NBA, sekali gus menjadi pemenang pertama secara sebulat suara dalam tempoh 43 tahun anugerah itu diperkenalkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjadi pemain termuda dalam sejarah memenangi Anugerah Pemain Pertahanan NBA.
  • Mendahului liga dalam purata blok untuk musim ketiga berturut turut dan mengukuhkan pertahanan Spurs.
  • Penampilan playoff sulung cemerlang: 35 mata, lima rebound dan dua blok ketika menewaskan Portland.

Pemain antarabangsa Perancis berusia 22 tahun itu meraih kesemua 100 undian media, mengatasi pencabar terdekat Chet Holmgren dari Oklahoma City Thunder di tempat kedua, manakala Ausar Thompson dari Detroit Pistons di kedudukan ketiga.

Kejayaan tersebut menambah lagi pencapaian dalam karier Wembanyama yang berkembang pesat, termasuk menjadi pemain termuda dalam sejarah memenangi anugerah berkenaan.

“Saya sangat gembira dan bangga menjadi pemenang pertama secara sebulat suara,” katanya kepada NBC Sports Network.

Pemain setinggi 2.24 meter itu terus membuktikan reputasinya sebagai bintang masa depan liga sejak dipilih sebagai pilihan pertama dalam Draf NBA 2023 oleh Spurs.

Aksi cemerlang musim ini menyaksikan beliau mendahului liga dalam purata blok (3.08) untuk musim ketiga berturut-turut, selain membantu Spurs muncul antara pasukan terbaik dari segi pertahanan.

Malah, Wembanyama turut menyerlah dalam penampilan sulung playoff apabila meledak 35 mata, lima rebound dan dua blok ketika Spurs menewaskan Portland Trail Blazers.

Legenda Jerman, Dirk Nowitzki, menyifatkan Wembanyama sebagai pemain yang “mengubah permainan” dengan keupayaan pertahanan luar biasa.

Bagaimanapun, Wembanyama menegaskan kejayaan itu hasil usaha berpasukan serta peranan penting rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan Spurs.-AFP